FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berpuas hati dengan tahap pematuhan standard prosedur operasi (SOP) yang dilaksanakan di semua institut pengajian tinggi (IPT) dalam menerima kemasukan penuntut ke kampus yang dilaksanakan pada 15 Oktober lalu.

Timbalan Menterinya, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, pihak KPT sudah menerima laporan daripada universiti bahawa setiap daripadanya mengikuti dan mematuhi setiap SOP yang ditetapkan.

"Garis panduan dasar sudah ditetapkan oleh pihak KPT tetapi universiti mempunyai SOP tersendiri berdasarkan keupayaan profil universiti masing-masing.

"Sejak tarikh penuntut universiti dibenarkan pulang ke kampus masing-masing pada 15 Oktober lalu, sehingga kini pihak KPT tidak menerima sebarang laporan atau isu kritikal mengenai kemasukan pelajar ke universiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan majlis tandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dan Yayasan TRC (YTRC) di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihak KPT berbesar hati apabila penuntut dapat masuk semula ke universiti dengan cara yang sempurna dan dalam keadaan yang selesa serta tiada sebarang isu yang timbul.

"Di setiap universiti mempunyai SOP yang tersendiri antaranya mempunyai tempat pengasingan bagi penuntut yang disahkan positif Covid-19.

"Itu adalah satu perkara yang ditekan atau SOP yang ditetapkan oleh pihak KPT dengan universiti bagi langkah membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan penuntut.

"Selagi pihak universiti tidak mempunyai pusat pengasingan sendiri, maka mereka tidak melepasi tahap SOP yang ditetapkan oleh KPT," katanya.

Sementara itu, MoU berkenaan menyaksikan Yayasan TRC menyampaikan penajaan biasiswa kepada penuntut terpilih bernilai RM312,000.

Penuntut yang terpilih akan terbabit dalam program khidmat sosial berimpak tinggi anjuran bersama pihak Yayasan TRC dan UTHM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 5:46 PM