Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Lapan deretan kedai di Jalan Hiliran di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira 10.30 malam itu membabitkan kedai menjual pakaian, basikal, aksesori dan permainan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid berkata, empat jentera bersama 30 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, api sedang marak membakar deretan kedai berkenaan dan usaha mengawal kebakaran segera dijalankan.

"Kita mengambil masa kira-kira 30 minit bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak dan api berjaya dipadam sepenuhnya tidak lama kemudian.

"Kebakaran membabitkan kedai aksesori, kedai basikal, pakaian dan mainan kanak-kanak

"Terdapat lapan pintu di sini membabitkan lapan pemilik, tetapi ia mempunyai banyak lot. Kita sedang mengumpul maklumat," katanya.

Md Hilman berkata, kesemua premis berkenaan mengalami kerosakan antara 30 hingga 100 peratus.

Katanya, tiada kemalangan jiwa berlaku dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian.

ANTARA kedai di Jalan Hiliran, Kuala Terengganu yang musnah dalam kebakaran. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
ANTARA kedai di Jalan Hiliran, Kuala Terengganu yang musnah dalam kebakaran. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 9:19 AM