Zatul Iffah Zolkiply

Dungun: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menerbangkan enam unit dron bagi memantau dan menilai paras air sungai terutama di kawasan yang berisiko dilanda banjir.

Pengarahnya Md Hilman Abd Rashid berkata, dron yang dilengkapi kamera inframerah (kamera pengimejan) itu dapat membantu pasukan penyelamat membuat pemantauan daripada udara pada jarak sejauh 10 kilometer.

Menurutnya, setakat ini, Terengganu mempunyai dua unit dron selain turut dibantu kepakaran daripada Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang serta JBPM Melaka dan JBPM Kedah.

Katanya, dron-dron berkenaan mula diterbangkan semalam untuk memantau naik turun paras air di sesuatu kawasan itu.

"Apabila kita dapat laporan berlaku kenaikan air atau hujan lebat berterusan, pasukan dron akan ke sana untuk memantau dan membuat penilaian keadaan semasa.

"Laporan yang diterima akan digunakan untuk tindakan susulan yang boleh diambil bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Kampung Pasir Raja, di sini, hari ini.

Terdahulu, pasukan dron melakukan pemantauan paras air sungai di Kampung Pasir Raja bagi melihat situasi semasa keadaan kampung berkenaan yang dilanda banjir.

Keadaan air sungai yang diambil menggunakan dron di Kampung Pasir Raja. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Keadaan air sungai yang diambil menggunakan dron di Kampung Pasir Raja. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 9:44 PM