ABANG Johari menyerahkan cenderahati kepada Jong Ki. FOTP Nadim Bokhari
ABANG Johari menyerahkan cenderahati kepada Jong Ki. FOTP Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak memberi tumpuan khusus bagi menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF) untuk menjadi bahan api alternatif industri penerbangan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bersama syarikat pengeluar pesawat Airbus dan Rolls Royce akan melaksanakan penyelidikan menerusi Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (Amic).

Menurutnya, kerjasama penyelidikan dan pembangunan terhadap bahan api bio untuk penerbangan itu amat perlu untuk industri penerbangan yang bermatlamat sifar pelepasan karbon.

"Penerbangan menggunakan SAF mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau sehingga 80 peratus dan ia langkah berani ke arah penerbangan lebih hijau.

"Justeru Sarawak akan berkolaborasi dengan syarikat besar untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan SAF," katanya dalam ucaptama Forum Perniagaan Tenaga Sarawak-Korea 2022, di sini, hari ini.

Turut hadir Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Lee Chi Beom, Utusan Khas Perdana Menteri ke Asia Timur Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Menurut Abang Johari, peningkatan pengeluaran SAF domestik dapat membantu mengekalkan faedah industri bahan api bio dan menempa faedah ekonomi baharu, mewujudkan dan menjamin peluang pekerjaan di seluruh negara.

"Terdapat peluang besar antara Sarawak dan Korea Selatan dalam penggunaan bahan api masa depan dengan SAF dapat membuka faedah tambahan sosial, alam sekitar dan ekonomi.

"Kunci kepada penerimaan yang lebih besar dan penggunaan SAF adalah pengurangan kos," katanya.

Pada masa yang sama, beliau berharap dapat bekerjasama dengan Korea Selatan dalam menjalankan penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi pengeluaran yang lebih baik dan inovatif bahan mentah yang mampan.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyaksikan majlis menandatangani kontrak Projek Microgrid Semadang antara Sarawak Energy Berhad dan Korean Consortium.

Sarawak Energy Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sharbini Suhaili manakala Naib Presiden Nuri Flex Co. Ltd, Kim Han Soo dan Ketua Pegawai Eksekutif KH Shinhwa SnC Co. Ltd, Min Jong Ki menandatangani bagi pihak Korean Consortium.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 9:47 PM