34 set bubu naga dirampas anggota Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah dalam pemeriksaan di kawasan perairan Tanjung Jaga, Yan semalam. FOTO Ihsan APMM
34 set bubu naga dirampas anggota Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah dalam pemeriksaan di kawasan perairan Tanjung Jaga, Yan semalam. FOTO Ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sebanyak 34 set bubu naga dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kedah di kawasan perairan Tanjung Jaga, Yan petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, peralatan bubu naga itu dirampas ketika rondaan dilakukan anggotanya di kawasan itu pada 5 petang.

Menurutnya, bubu naga itu masing-masing berukuran lebih kurang 10 meter panjang yang dipasang di beberapa lokasi berbeza sepanjang perairan berkenaan.

"Rondaan rutin giat dilaksanakan dan pihak kami sentiasa bertindak atas aduan awam berkaitan isu lambakan bubu naga di kawasan perairan terbabit.

"Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azreyanti berkata, kesemua bubu itu dianggarkan bernilai RM4,080 dan kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Menurutnya, APMM Kuala Kedah mengalu-alukan aduan dan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 1:26 PM