PERALATAN bubu naga yang dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah. FOTO ihsan APMM
PERALATAN bubu naga yang dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah. FOTO ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 57 set bubu kambang atau bubu naga dalam dua operasi di perairan Kuala Kedah dan Kuala Sala dalam tempoh seminggu.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya menerima aduan awam mengenai penggunaan bubu naga yang aktif di perairan negeri ini.

Menurutnya, bot ronda berjaya mengesan aktiviti itu melalui penemuan pancang penanda yang dipasang pada setiap bubu naga di beberapa lokasi berbeza sepanjang perairan terbabit.

"Kesemua bubu naga berkenaan dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

"Kesemua bubu naga yang rampas dianggarkan bernilai RM6,840," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, nelayan diingatkan mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang ditetapkan.

"Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 3:05 PM