SEBAHAGIAN dari 225 set bubu naga yang dirampas APMM Zon Maritim Kuala Kedah dalam Ops Aman yang dilakukan di perairan Kuala Kedah dan Yan. FOTO Ihsan APMM
SEBAHAGIAN dari 225 set bubu naga yang dirampas APMM Zon Maritim Kuala Kedah dalam Ops Aman yang dilakukan di perairan Kuala Kedah dan Yan. FOTO Ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 225 bubu bubu naga pada Op Aman yang dijalankan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini di perairan Kuala Kedah dan Yan.

Pengarahnya, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, penggunaan bubu naga dilihat sebagai penyelesaian kepada individu tidak bertanggungjawab berikutan modal minimum namun mampu meraih keuntungan besar.

"Penggunaan bubu naga merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan tradisional atau pesisir pantai.

"Kami turut mengenal pasti beberapa lokasi baharu bubu naga dipasang berikutan penemuan pancang penandanya," katanya pada kenyataan hari ini.

Noor Azreyanti berkata, bubu naga dirampas itu bernilai kira-kira RM27,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

"Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 2:52 PM