SEBAHAGIAN daripada 746 bubu naga yang dirampas sepanjang Januari hingga Selasa lalu di kawasan perairan Kedah yang dirampas Zon Maritim Kuala Kedah. FOTO Ihsan APMM
SEBAHAGIAN daripada 746 bubu naga yang dirampas sepanjang Januari hingga Selasa lalu di kawasan perairan Kedah yang dirampas Zon Maritim Kuala Kedah. FOTO Ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya merampas 746 set bubu naga yang digunakan secara haram di perairan negeri ini, setakat Selasa lalu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azriyanti Ishak berkata, rampasan bernilai RM89,520 itu sejak Januari lalu, hasil pemantauan secara berkala pihaknya.

Katanya, pihaknya turut mendapati berlaku peningkatan penggunaan alat menangkap ikan itu dengan rampasan pada Selasa menemui 15 set dianggarkan bernilai RM1,800 pada kedudukan 0.2 batu nautika dari Tanjung Jaga di Yan.

"Bubu yang dirampas dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan mengikut Seksyen 11(3) (c) Akta Perikanan 1985.

"Sepanjang operasi, beberapa lokasi dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan bubu naga ini iaitu perairan Yan dan Kuala Kedah.

"Setakat ini juga dua suspek ditahan bersama 20 set bubu naga, bot fiber dan 10 kilogram hasil laut dianggarkan RM28,580," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau meminta kerjasama komuniti maritim dan semua pihak untuk melaporkan kepada pihaknya jika mengesan penggunaan alat menangkap ikan yang diharamkan atau aktiviti jenayah dalam perairan negara.

Aduan atau kecemasan di laut boleh disalur kepada talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah 04-7310579.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 6:23 PM