Sebahagian dari 28  set bubu naga yang ditemui dan dirampas di Kuala Kuar, Kuala Kedah. FOTO IHSAN APMM
Sebahagian dari 28 set bubu naga yang ditemui dan dirampas di Kuala Kuar, Kuala Kedah. FOTO IHSAN APMM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 28 set bubu kambang atau bubu naga pada jarak kira-kira satu batu nautika di perairan Kuala Kuar di Kuala Kedah, pada awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim APMM Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, tindakan itu dibuat dalam pemeriksaan selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung aktiviti dan penggunaan bubu naga yang aktif di perairan negeri berkenaan.

Menurutnya, rondaan rutin pihaknya berjaya mengesan aktiviti berkenaan melalui penemuan pancang penanda yang dipasang bubu naga berukuran lebih kurang 10 meter panjang di beberapa lokasi berbeza sepanjang perairan Kuala Kuar pada 1 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua bubu yang dianggarkan bernilai RM3,360 dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 6:35 PM