ALOR SETAR 29 MEI 2019. Sebanyak 100 set peralatan bubu naga dirampas anggota Maritim Malaysia di perairan Pantai Kuala Sanglang, yang dilarang penggunaannya kerana boleh menjejaskan sumber Perikanan dalam laut. NSTP/IHSAN MARITIM MALAYSIA
ALOR SETAR 29 MEI 2019. Sebanyak 100 set peralatan bubu naga dirampas anggota Maritim Malaysia di perairan Pantai Kuala Sanglang, yang dilarang penggunaannya kerana boleh menjejaskan sumber Perikanan dalam laut. NSTP/IHSAN MARITIM MALAYSIA
Zuliaty Zulkiffli

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 100 set bubu naga (China Prawn Net Trap) di kawasan Pantai Kuala Sanglang, Alor Setari awal pagi ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, rampasan dilakukan 2.30 pagi tadi ketika anggotanya melakukan rondaan di kawasan perairan Sanglang dan menemui 100 set bubu naga berukuran kira-kira 10 meter panjang.

Beliau berkata, peralatan itu dipercayai dipasang di beberapa lokasi yang berbeza sepanjang kawasan berkenaan.

“Jabatan Perikanan Kuala Kedah sebelum ini memaklumkan bahawa mereka tidak mengeluarkan sebarang lesen untuk peralatan bubu naga di perairan Negeri Kedah.

“Penggunaan bubu naga diharamkan kerana boleh menjejaskan sumber perikanan lain, tidak boleh berangkai dan bersambung kerana ia perlu dibuat satu persatu asalkan mempunyai dua injap seunit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahmad Faizal berkata, semua bubu berkenaan yang dianggarkan bernilai RM9,200 kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 8(a), Seksyen 10 (2),dan Seksyen 29 Akta Perikanan 1985.

Beliau berkata, sepanjang Mei 2019, sebanyak 200 unit bubu naga dirampas dengan nilai rampasan dianggarkan lebih kurang RM 18,500.00

“Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan dan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 6:11 PM