KERJA-KERJA pembinaan projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) yang giat dijalankan dikenal pasti sebagai punca air keruh di Sungai Klang sekitar kawasan ibu kota, termasuk projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL). FOTO BERNAMA
KERJA-KERJA pembinaan projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) yang giat dijalankan dikenal pasti sebagai punca air keruh di Sungai Klang sekitar kawasan ibu kota, termasuk projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL). FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: EKVE Sdn Bhd menafikan dakwaan kerja-kerja pembinaan projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) sebagai punca air keruh di Sungai Klang.

Jurucakap konsesi itu berkata, lokasi tapak projek pembinaan yang sedang menjalankan kerja tanah kecil di bahagian Sungai Ampang berhampiran 'Intake' Loji Rawatan Air Ampang, terletak 15 kilometer dari Sungai Klang.

"Itu terlalu jauh untuk aliran kelodak - jika ada - dari tapak projek kami di Sungai Ampang untuk menyebabkan kualiti air di Sungai Klang terjejas," katanya bagi menjawab dakwaan projek pembinaan EKVE menyebabkan pencemaran air sungai berkenaan.

Menurut jurucakap konsesi, kerja-kerja tanah yang dijalankan adalah minimum memandangkan lebuh raya berkenaan hampir siap dan kerja-kerja yang dijalankan adalah mengikut Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) atau amalan ESCP yang ketat.

"Lawatan ke tapak projek dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya dari semasa ke semasa untuk memastikan kepatuhan kepada ESCP.

"Intake Loji Rawatan Air Ampang tidak ditutup apabila terdapat pengaliran air keruh di Sungai Klang, menunjukkan hanya terdapat tahap kekeruhan air sangat rendah di Sungai Ampang berhampiran lokasi tapak projek itu," menurut kenyataan itu.

EKVE dibina sepanjang 39.66 kilometer adalah lebuh raya bertingkat dua lorong antara Bandar Sungai Long dan Ukay Perdana dijangka siap menjelang Julai tahun ini.

Khamis lalu, Bernama melaporkan kerja-kerja pembinaan projek EKVE dikenal pasti sebagai punca air keruh di Sungai Klang sekitar kawasan ibu kota, termasuk projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL) di sini.

Hasil siasatan Jabatan Pengarian dan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPS WPKL) pada 16 Februari lalu mendapati air keruh mula mengalir dari Sungai Ampang di Hutan Lipur Ampang, Selangor berhampiran 'intake' Loji Rawatan Air Ampang sebelum mengalir masuk ke Sungai Klang, disebabkan pembukaan tanah yang tidak terkawal.

Menurut JAS Selangor, projek berkenaan masih berada dalam Arahan Berhenti Kerja yang berkuat kuasa sejak 13 Oktober tahun lalu dan pemaju dilarang menjalankan kerja-kerja tanah serta pembinaan hingga ke suatu tarikh penarikan balik yang akan diberitahu kelak.

Pemaju hanya dibenar melakukan kerja baik pulih tebing sungai, penstabilan cerun dan penutupan cerun terdedah selain menyelenggara sebahagian cerun berhampiran Sungai Ampang yang runtuh akibat tekanan air dari dalam tanah dalam tempoh itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 7:24 PM