AMIRUDIN bercakap pada sidang media khas berkenaan situasi terkini banjir di sekitar Selangor. FOTO Bernama
AMIRUDIN bercakap pada sidang media khas berkenaan situasi terkini banjir di sekitar Selangor. FOTO Bernama
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan banjir di Hulu Langat berpunca daripada kepala air yang turun dari kawasan pergunungan sekitar.

Amirudin berkata, kepala air itu membawa longgokan sampah dan kayu-kayan sehingga sampai Batu 14, Sungai Lui dan kawasan sekitarnya.

Malah, beliau memaklumkan tidak menerima maklumat bahawa pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) menjadi punca banjir di kawasan Hulu Langat.

"Yang pastinya daripada maklumat yang saya peroleh, saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu dan akan merujuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebab dikatakan beliau ada menyebut perkara itu (EKVE antara punca banjir di Hulu Langat).

"Daripada taklimat awal, ia memang berpunca daripada kepala air yang jatuh dari kawasan pergunungan sekitar," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan beliau tidak mengetahui maklumat mengenai lebuh raya berkenaan bagaimanapun di Kuala Selangor terdapat satu projek lebuh raya yang tiangnya didapati memotong satu ban di Kampung Asahan.

"Saya sendiri yang datang (ke Kuala Selangor) dan dapati projek terbabit sudah memotong satu ban seterusnya menyebabkan air melimpah ke kampung berkenaan.

"Bagaimanapun, sejak semalam banyak air sudah berjaya dikeluarkan dan insya-Allah kita akan lihat penyurutan yang ketara di Kuala Selangor," katanya.

Semalam, Ismail Sabri memaklumkan, pembinaan EKVE di sini dipercayai antara faktor menyumbang kepada kejadian banjir besar di sekitar Taman Sri Nanding, Hulu Langat.

Beliau dilaporkan berkata, pemantauannya di kawasan perumahan itu mendapati projek pembinaan EKVE menyebabkan longkang tertutup, sekali gus mengganggu sistem saliran di kawasan itu.

Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri memerlukan sebanyak RM369.5 juta bagi melaksanakan projek pembaikan susulan banjir yang melanda negeri ini.

Katanya, jumlah itu diperlukan bagi membaiki jalan raya, bangunan dan peralatan kemudahan awam.

"Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor memerlukan peruntukan segera sebanyak RM142.3 juta.

"Manakala untuk pembaikan jalan raya, kos membaiki jalan persekutuan berjumlah RM38 juta manakala jalan negeri pula RM63 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 9:53 PM