GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang peniaga buah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini selepas didapati bersalah mencederakan kenalannya dengan sebilah parang sehingga menyebabkan lelaki itu mengalami kecacatan kekal apabila ibu jari tangan kirinya putus.

Hakim Syafeera Mohd Said menjatuhkan hukuman itu ke atas B Tiviyamani, 26, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman yang dipohon peguam S Muthu yang mewakili tertuduh sementara menunggu rayuan selesai di Mahkamah Tinggi.

Mengikut tuduhan, Tiviyamani didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah kepada peniaga telur, S Taneshwaran, 23, dengan sebilah parang, senjata yang jika digunakan untuk menyerang boleh menyebabkan kematian di kawasan Flat Bunga Raya, Taman Selayang Makmur, Gombak di sini pada 12.05 tengah malam, 4 Februari 2019.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul' Ain Shafie memohon hukuman berat kerana mengambil kira keseriusan kes yang menyebabkan mangsa mengalami kecacatan kekal dan tidak dapat menjalani kehidupan normal.

"Tertuduh telah mencederakan mangsa dengan parang menyebabkan ibu jari tangan kiri mangsa putus dan mengalami kecacatan kekal. Ibu jarinya juga tidak dapat disambung balik.

"Tindakan tertuduh adalah kejam dan boleh menyebabkan kematian kepada mangsa. Oleh itu, mahkamah perlu mempertimbangkan faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan mesej untuk masyarakat umum," katanya.

Muthu memohon hukuman penjara minimum atas alasan anak guamnya menanggung keluarga serta ibu yang sudah uzur.

Seramai 12 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh, memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 10 September 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 4:57 PM