GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap kenalannya menggunakan sebilah parang dalam kejadian pada tahun lalu.

S. Arigaran, 33, dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap juruteknik S. Annbarasan, 33, dengan menggunakan sebilah parang di sebuah pondok berhadapan sebuah sekolah di Batu Arang, Gombak di sini pada 3.25 petang, 11 Oktober 2020.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Robert Devan yang mewakili Arigaran memohon jaminan dikurangkan antara RM6,000 dan RM7,000.

Hakim Syafeera Mohd Said membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dia perlu melaporkan diri pada setiap satu hari bulan di balai polis berhampiran dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 24 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 2:41 PM