Mohd Shawal dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan selepas mengaku salah mencederakan adiknya menggunakan parang. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Mohd Shawal dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan selepas mengaku salah mencederakan adiknya menggunakan parang. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, kerana mencederakan adiknya menggunakan sebilah parang.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Shawal Nor @ Aziz, 34, mengaku salah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian pinggang kiri mangsa, Amirruddin, 29, menggunakan sebilah parang di belakang sebuah kedai runcit di Kampung Banggol, Air Lileh, jam 7.15 malam, 15 Ogos lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohimadin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa yang berada di belakang kedai runcit milik abang mereka didatangi tertuduh yang memegang sebilah parang lalu melibas parang ke arah mangsa.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera di pinggang kiri dan isteri mangsa yang melihat kejadian itu menjerit meminta pertolongan abang mereka yang juga pemilik kedai runcit.

Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 4:51 PM