Antara lelaki yang ditahan di sebuah bangunan kilang di Sunway Damansara Technology Park di sini, semalam, selepas disyaki menjalankan operasi judi dalam talian. Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Antara lelaki yang ditahan di sebuah bangunan kilang di Sunway Damansara Technology Park di sini, semalam, selepas disyaki menjalankan operasi judi dalam talian. Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: "Saya ditawarkan untuk membekal serta menghantar makanan ke premis ini dan tidak sangka pula mereka jalankan aktiviti judi dalam talian," kata seorang penghantar makanan yang ditahan polis dalam serbuan di pusat operasi judi dalam talian di sebuah bangunan kilang di Sunway Damansara Technology Park di sini, semalam.

Lelaki berusia 29 tahun itu mendakwa dia diupah oleh individu tidak dikenali untuk menghantar makanan di premis berkenaan dua kali sehari dengan upah RM2,000 sebulan.

"Sebelum ini, saya ada meminta tolong daripada rakan untuk mencari kerja selepas pekerjaan sebelum ini sebagai pemunggah bagasi di lapangan terbang tidak dapat diteruskan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

"Saya kemudiannya dihubungi seorang individu yang menawarkan saya untuk membekalkan serta menghantar makanan ke premis ini tanpa saya mengetahui apa yang dilakukan mereka (judi dalam talian).

"Kebiasaannya saya hanya menghantar makanan di luar premis ini sebelum menghubungi salah seorang pekerja untuk mengambil makanan berkenaan," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, semalam.

Sementara itu, Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor Deputi Superintendan Zuhairee Mohd Rashid berkata, pihaknya melakukan serbuan di lokasi berkenaan pada 5.50 petang.

"Dalam serbuan ini, kami menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga Taiwan berusia antara 20 hingga 35 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian di premis berkenaan.

"Kami turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan sindiket berkenaan dalam kegiatan itu termasuk telefon bimbit serta komputer," katanya.

Zuhairee berkata, pihaknya percaya sindiket berkenaan yang mempromosikan aktiviti judi dalam talian melalui platform 'Forex' aktif sejak pertengahan Januari lalu.

"Sindiket terbabit menjadikan kilang dua tingkat ini sebagai pusat operasi mereka dengan menyasarkan pelanggan di negara ini.

"Pelanggan perlu mendepositkan bayaran bagi mendapatkan akses untuk memulakan permainan," katanya.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai menggunakan akaun bank tempatan bagi tujuan transaksi dan deposit wang hasil perjudian.

"Selain itu, sindiket berkenaan turut menggaji pekerja tempatan dan warga asing dengan gaji antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

Mereka yang tinggal di kilang ini akan bekerja bermula 12 tengah hari hingga 11 malam setiap hari.

"Semua tangkapan dan rampasan dalam serbuan ini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 9:35 AM