Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Tujuh pekerja judi dalam talian yang leka mempromosikan aktiviti haram itu di sebuah kondominium mewah, di sini, dikejutkan dengan serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, petang semalam.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, serbuan ke atas kondominium mewah di Persiaran Anggerik Vannila, Kota Kemuning itu dijalankan menerusi Ops Calling Centre jam 5.30 petang.

"Ketika serbuan dijalankan, polis mendapati tujuh suspek sedang mempromosikan permainan perjudian atas talian, tiada cubaan lari dan suspek beri kerjasama.

"Kesemua suspek membabitkan lelaki tempatan itu dipercayai pekerja yang berumur antara 20 hingga 30 tahun.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenama gajet membabitkan 28 unit telefon bimbit, empat CPU, enam monitor, sebuah komputer riba jenama Acer, satu modem jenama TP Link serta satu modem jenama Huawei," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ANTARA barang rampasan ketika Ops Calling Centre. FOTO ihsan IPK Selangor
ANTARA barang rampasan ketika Ops Calling Centre. FOTO ihsan IPK Selangor

Zuhairee berkata, siasatan mendapati kondominium mewah yang disewa itu dijadikan sebagai pusat mempromosi dan menjalankan aktiviti judi dalam talian dengan menyasar pelanggan tempatan.

"Siasatan mendapati, sindiket menggunakan laman web 'www Club66' bagi tujuan menganjur, mengurus dan mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian seperti jenis Kissme, mega888 dan rolex.

"Sindiket juga menggunakan aplikasi Whatsapp, Telegram dan WeChat untuk mempromosi perjudian dalam talian itu.

"Kaedah transaksi dibuat secara dalam talian di mana terdapat beberapa akaun disyaki akaun keldai dijadikan tempat untuk memasukkan dan memindahkan wang kepada pelanggan tempatan," katanya.

Beliau berkata, hasil risikan mendapati kediaman itu sudah beroperasi sejak setahun dan menjadikan lelaki tempatan sebagai operator perjudian dengan dibayar gaji sebanyak RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.

"Siasatan juga mendapati sindiket terbabit mempunyai kira-kira 1,000 pelanggan dengan anggaran transaksi urus niaga perjudian di antara RM30,000 hingga RM40,000 sehari," katanya.

Menurutnya, operasi yang berakhir kira-kira jam 11 malam membabitkan kekuatan 14 pegawai dan anggota, juga disertai pakar kes judi dan pakar forensik bagi menganalisa peranti elektronik.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a),(c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 11:29 AM