ANTARA mereka yang ditahan di pusat hiburan di USJ, awal pagi tadi. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA mereka yang ditahan di pusat hiburan di USJ, awal pagi tadi. FOTO Ihsan Polis.
Raja Noraina Raja Rahim

Subang Jaya: Seramai 26 pelanggan pusat hiburan di USJ 19 di sini, dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), awal pagi tadi.

Dalam serbuan Op Noda oleh Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 2.30 pagi, seramai 13 penjaga premis dan pelayan pelanggan warga asing turut ditahan.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, pihaknya mendapati pelanggan berhibur tanpa penjarakan fizikal dan melanggar SOP lain.

"Berikutan itu, kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kepada semua pelanggan terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zuhairee berkata, tiga penjaga premis dan 10 wanita Vietnam yang ditahan pula berusia antara 20 hingga 43 tahun.

"Kita juga merampas wang tunai RM512, jadual kerja dan resit pembayaran," katanya yang memberitahu semua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 6 Enakmen hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) 1998, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 12:57 PM