AHMAD Ridhwan (kiri) menunjukkan barang rampasan  susulan penahanan tiga ahli Geng Deva. FOTO Ihsan Polis
AHMAD Ridhwan (kiri) menunjukkan barang rampasan susulan penahanan tiga ahli Geng Deva. FOTO Ihsan Polis
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Polis menahan tiga ahli Geng Deva termasuk ketuanya yang aktif melakukan pecah rumah di sekitar Telok Panglima Garang dekat sini, sejak tiga bulan lalu.

Kesemua suspek berusia 26 hingga 30 tahun itu ditahan pada 3 dan 4 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, penahanan tiga lelaki itu dibuat susulan susulan laporan polis yang dibuat pekerja kilang berusia 69 tahun yang memaklumkan rumahnya di Taman Dato Hormat dipecah masuk 2 November lalu.

Katanya, wanita warga emas itu memaklumkan dia kehilangan wang berjumlah RM600, seutas gelang jed asli, set subang emas putih dan dua telefon bimbit.

"Bertindak atas maklumat, polis kemudiannya berjaya menangkap seorang lelaki yang juga ketua geng berkenaan sebelum menahan dua lagi ahlinya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati geng itu aktif sejak tiga bulan lalu dengan jenayah mereka menyebabkan kerugian kira-kira RM30,000.

Katanya, dengan penahanan itu polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah.

"Kesemua suspek direman lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 5:49 PM