ABDUL Aziz (tengah) menunjukkan parang yang digunakan suspek untuk menyamun. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ABDUL Aziz (tengah) menunjukkan parang yang digunakan suspek untuk menyamun. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Pasukan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sungai Buloh berjaya menumpaskan satu kumpulan samun dikenali Geng Shafiq dalam satu serbuan di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata, geng terbabit yang dianggotai empat suspek termasuk pasangan adik beradik berusia antara 23 hingga 30 tahun itu ditahan selepas penahanan salah seorang suspek di kediaman mereka, Jumaat lalu.

"Berdasarkan maklumat daripada mangsa, kita dapat mengesan seorang daripada suspek sebelum menjalankan serbuan di rumahnya di Batu Caves.

"Hasil soal siasat suspek, kita dapat mengesan tiga lagi rakannya yang menetap di hotel lima bintang di Kuala Lumpur selepas menyamun tujuh pelanggan kolam pancing udang di Jalan Kampung Baru Sungai Buloh, Rabu lalu," katanya pada sidang media di IPD Sungai Buloh, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya merampas 16 telefon bimbit dan sebuah laptop dipercayai milik mangsa selain dua bilah parang yang digunakan untuk mengugut mangsa.

"Dengan penahanan keempat-empat suspek ini, kita berjaya menyelesaikan 17 kes samun yang dilaporkan di sekitar Lembah Klang.

"Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi menbantu siasaan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 4:27 PM