Barangan hasil kes samun di premis 24 jam yang beroperasi disekitar bandaraya Kuching yang berjaya dirampas pihak polis dengan tumpasnya ‘Geng Ali Kuantao’. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Barangan hasil kes samun di premis 24 jam yang beroperasi disekitar bandaraya Kuching yang berjaya dirampas pihak polis dengan tumpasnya ‘Geng Ali Kuantao’. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Kuching: Polis berjaya menumpaskan 'Geng Ali Kuantao' dengan penahanan enam lelaki sekali gus menyelesaikan kes samun berkawan menggunakan parang di kedai serbaneka 24 jam di bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas bagi mengesan suspek sebelum berjaya menahan mereka yang berusia 20 hingga 26 tahun pada Rabu dan semalam.

"Siasatan awal suspek turut mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan jenayah harta benda.

"Polis turut merampas kenderaan, pakaian, senjata dan mesin daftar wang untuk membantu siasatan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek menggunakan modus operandi dengan memakai topeng dan mengacukan parang untuk menakutkan mangsa.

Katanya, penahanan kesemua suspek dipercayai berjaya menyelesaikan lima kes samun.

"Kesemua suspek warga tempatan direman sehingga 13 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 5:30 PM