DATUK Ahmad Yakob (kiri) diringi oleh anggota polis menitis cecair pembasmi kuman kepada pengguna jalanraya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Ahmad Yakob (kiri) diringi oleh anggota polis menitis cecair pembasmi kuman kepada pengguna jalanraya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Cadangan menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) mampu mewujudkan rasa tanggungjawab kepada rakyat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sedang dibuat perbincangan oleh Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata, perbincangan akan melihat kewajaran yang patut dikenakan dalam pelaksanaan pindaan akta terbabit.

"Saya bersetuju, bukan kata nak kompaun rakyat tapi supaya ada (rasa) tanggungjawab, mereka yang tiada tanggungjawab itu kita beri satu kompaun yang agak tinggi.

"Itu akan diputuskan oleh Peguam Negara melalui MKN, mungkin akan dipinda oleh Ordinan Darurat," katanya.

Ahmad ditemui pada program Info On Wheels (IOW) Jabatan Penerangan Kelantan sempena kempen pematuhan SOP Covid-19 di Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan Azahar Ismail dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin.

Ahad lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menyerahkan draf cadangan kepada pejabat Peguam Negara untuk menaikkan kompaun kepada pesalah yang ingkar SOP.

Ia berikutan terdapat keperluan untuk meminda Akta 342 atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 1:51 PM