ISMAIL Sabri ketika menyematkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran tentera Abdul Hamid Mohammed pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran ATM di Savana Hill Resort, Ulu Tiram. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri ketika menyematkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran tentera Abdul Hamid Mohammed pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran ATM di Savana Hill Resort, Ulu Tiram. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh


KERAJAAN perlu mengambil masa yang lama untuk meminda dua akta sedia ada jika mahu menaikkan kadar kompaun terhadap kesalahan ingkar peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, akta itu membabitkan Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) serta Akta Tafsiran 1948/1967.

Katanya, perkara itu perlu dibentangkan di Parlimen dan dibahaskan sebelum undang-undang berkaitan dapat dipinda dan dilaksanakan.

"Perkara ini perlu dibentangkan di Parlimen dahulu. Minggu lalu, perkara ini ada dibangkitkan di kabinet atas nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang).

"Menteri Undang-Undang diminta untuk membuat kajian tentang perkara ini dan kalau perlu buat pindaan, kita akan pinda.

"Tetapi langkah ini memerlukan masa yang lama (untuk) pinda dua akta ini (kerana) perlu bawa dalam Parlimen, bahaskan dan kalau diluluskan, baharulah ia akan digazetkan.

"Sedangkan wabak Covid-19 sedang berlaku sekarang dan memerlukan langkah segera bagi mengekang penularannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Peringkat Johor di Ulu Tiram, hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan dilaporkan bersedia meminda Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) untuk menaikkan kadar kompaun ke atas mereka yang ingkar peraturan berkenaan pada sesi Parlimen, November ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, pihaknya akan membawa perkara itu ke kabinet bagi dibincangkan terutama mengenai kadar kompaun yang bersesuaian.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, meskipun Akta 342 hanya mengehadkan kompaun maksimum RM1,000 tetapi kes boleh dibawa ke mahkamah dan mahkamah boleh mengenakan hukuman jauh lebih tinggi.

"Sudah ada beberapa kes ingkar arahan kuarantin yang dikenakan kompaun lebih tinggi daripada had maksimum RM1,000 malah turut dikenakan hukuman penjara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 7:26 PM