ISMAIL Sabri bersama Affendi melawat rumah contoh selepas Majlis Pecah Tanah bagi Pembangunan Projek Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Kem Transmitter, Sungai Besi. FOTO Fathil Asri.
ISMAIL Sabri bersama Affendi melawat rumah contoh selepas Majlis Pecah Tanah bagi Pembangunan Projek Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Kem Transmitter, Sungai Besi. FOTO Fathil Asri.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kompaun RM10,000 akibat ingkar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan) 2021 adalah terpakai kepada semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia terpakai di semua negeri atau lokaliti selagi SOP itu ada.

"Kawasan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) atau PKP Pemulihan (PKPP), sama sahaja. Akta 342 (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) masih dilaksanakan.

"Tiada sebarang isu sekiranya anggota polis mengenakan hukuman kompaun RM10,000 terhadap mereka yang melanggar SOP.

"Setiap akta undang-undang mempunyai hukuman denda dan kompaun maksimum tersendiri, begitu juga Akta 342," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi Pembangunan Projek Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Satria Residensi, Kem Transmitter, Sungai Besi, di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Menurutnya, polis juga tidak mempunyai kuasa untuk mengurangkan jumlah kompaun di lapangan memandangkan ia sudah termaktub dalam akta itu.

"Tiada isu (polis mengenakan kompaun RM10,000). Jumlah kompaun ini boleh dirayu dan mungkin apabila dirayu, mereka (pesalah) mungkin dikenakan kompaun RM50 sahaja," katanya.

Ismail Sabri berkata, kompaun mengikut Akta 342 dilakukan selagi PKP masih berkuat kuasa.

Di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, orang ramai yang didapati melanggar PKP akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac.

Bagi syarikat yang didapati melakukan kesalahan yang sama pula boleh dikompaun sebanyak RM50,000.

Sebelum ini, di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, beliau terkejut apabila melihat ramai warga kota mahu pulang ke kampung halaman semalam, sekali gus menjadi punca kesesakan di sekitar Kuala Lumpur akibat Sekatan Jalan Raya (SJR) yang ketat.

"Saya tidak boleh ulas (kesesakan semalam) kerana ia adalah gerak kerja polis dan perkara itu perlu dibincang dengan polis.

"Tetapi saya terkejut apabila ramai yang mahu balik kampung dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 4:19 PM