JACOBS bergelut untuk melayakkan diri ke Paris 2024. FOTO AFP
JACOBS bergelut untuk melayakkan diri ke Paris 2024. FOTO AFP
AFP

Miami: Juara bertahan 100 meter (m) Olimpik, Marcell Jacobs mencatatkan masa 10.11 saat (s) untuk menduduki tempat kedua dalam saingan East Coast Relays iaitu perlumbaan pertamanya dalam tempoh hampir lapan bulan.

Juara 200m Olimpik, Andre De Grasse dari Kanada memenangi perlumbaan di Jacksonville, Florida, dengan masa yang sama dengan pelari Itali itu.

Trayvon Bromell dari Amerika Syarikat (AS), pemenang pingat gangsa dua kali di kejohanan dunia 100m berada di tempat ketiga, hasil catatan masa 10.14s.

Keputusan muktamad penamat itu disahkan selepas penganjur bermesyuarat mengeluarkan masa yang disemak semula untuk De Grasse dan Bromell apabila kali pertama ia dikeluarkan meletakkan Bromell di tempat pertama.

Jacobs yang berusia 29 tahun, pemenang mengejut emas Olimpik di Tokyo pada 2021, mencatat masanya dengan bantuan angin 0.9 m/s.

Perlumbaan terakhir Jacobs berlangsung di Zagreb, Croatia pada 10 September 2023 dan dia sedang mengejar masa untuk memenuhi standard kelayakan 10.0s ke Paris 2024.

Dia mencatat kemenangan di Tokyo dengan melakukan catatan masa 9.80s.

Jacobs berpangkalan di Jacksonville, Florida, di mana dia dilatih oleh Rana Reider dari AS bersama rakan sepelatih, De Grasse, Bromell dan pelari pecut Jepun, Abdul Hakim Sani Brown.

Jacobs berkata bulan lalu, bahawa dia akan kembali ke Itali 'sekitar 18-20 Mei' menjelang Paris 2024 dan berpangkalan di Rieti, utara Rom.

Sekembalinya ke Eropah, dia akan mengambil bahagian dalam beberapa siri kejohanan, termasuk di Ostrava pada 28 Mei dan sama ada acara Liga Berlian Oslo atau Stockholm (pada 30 Mei dan 2 Jun), menjelang Kejohanan Eropah Jun ini di Rom.

Jacobs juga memenangi emas dalam acara lari berganti-ganti 4x100m di Tokyo dan selepas kemenangan mengejut itu dia dinobatkan sebagai juara dunia 60m dan juara Eropah 100m pada 2022.

Bagaimanapun dia bergelut dengan beberapa siri masalah otot dan gagal di kejohanan dunia tahun lalu di Budapest di mana dia tersingkir dalam separuh akhir 100m.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 10:05 AM