Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan bercadang menaikkan denda bagi kesalahan kompaun mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) yang ketika ini berjumlah RM1,000.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu sudah dibawa kepada Peguam Negara untuk diteliti dalam kadar segera.

"Sewaktu darurat ini ordinan boleh digubal berkaitan Covid-19, kita dapati salah satu perkara menyebabkan kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana undang-undang dan hukuman begitu rendah.

"Setakat hari ini, Akta 342 menetapkan kompaun hanya RM1,000 jadi ramai menganggap jumlah ini terlalu rendah terutama bagi syarikat perniagaan.

"Sebab itu kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita selalu dengar seperti kelab malam dan perniagaan beroperasi lebih masa kerana bagi syarikat ini RM1,000 terlalu rendah," katanya dalam sidang media PKP hari ini.

Menurutnya, pihaknya pernah mengenakan kompaun kepada sebuah syarikat yang melanggar SOP menyebabkan pekerja kilang mereka sebahagian besar didapati positif Covid-19.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

"Kita tutup kilang ini dan ramai rakyat marah sebab denda RM1,000 tetapi ini tidak dapat dielakkan kerana Akta 342 hanya menetapkan denda RM1,000.

"Bagaimanapun, sewaktu darurat ini kita boleh meminda dan menambah lagi hukuman serta kompaun.

"Kita sudah minta Peguam Negara untuk melihat perkara ini iaitu denda kepada individu boleh ditambah kepada maksimum. Selain itu, denda kepada syarikat mungkin ditambah maksimum sehingga RM100,000," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 7:27 PM