Datuk Abdul Majid Mohd Ali
Datuk Abdul Majid Mohd Ali
Nuraliawati Sabri


Melaka: Polis menegaskan kompaun dikeluarkan membabitkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi larangan sebarang bentuk perhimpunan yang berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dibuat berlandaskan undang-undang.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, sesuatu kompaun itu dikeluarkan pihaknya berpandukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342).

"Polis menjalankan tugas seadilnya dan tindakan polis berdasarkan peraturan serta undang-undang. Sehingga kini kita menggunakan Akta 342 sehinggalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan SOP baharu.

"Perlu diingatkan tindakan dikenakan bukan ke atas parti (politik) sebaliknya individu seperti penganjur yang didapati melanggar undang-undang. Kita tidak tengok parti," katanya pada sidang media selepas Program Op Jihad Dadah, di Krubong, di sini, petang hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak atau individu yang tidak berpuas hati dikenakan kompaun boleh membawa perkara itu ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan susulan.

"Jika pihak terbabit tidak berpuas hati boleh rujuk ke KKM untuk rayuan dan jika tidak berpuas hati lagi boleh bawa ke mahkamah.

"Mengikut Akta 342 kegagalan mematuhi SOP seperti tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan menyediakan pendaftaran MySejahtera boleh dikenakan kompaun," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan PKR menuntut penjelasan daripada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin susulan parti itu dikenakan kompaun RM10,000 oleh polis selepas satu program penerangan bergerak tanpa perhimpunan diadakan di Taman Krubong Jaya, di sini, malam tadi.

Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dipetik berkata, kompaun dikeluarkan selepas selesai ceramah diadakan parti itu kerana dikatakan ingkar SOP ditetapkan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 5:50 PM