Calon PN, Khairul Azhari Saut.
Calon PN, Khairul Azhari Saut.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Hulu Selangor: Selepas enggan mengulas mengenai dakwaan tanya berkait latar pendidikannya, calon Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhari Saut hari ini tampil memuat naik transkrip dan sijil pengajiannya yang memperoleh Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada 29 September 2021.

Beliau yang juga Pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor berkata, tindakannya memuat naik dokumen berkaitan pengajiannya itu bagi mengukuhkan apa yang dinyatakan pihak UMPSA untuk menenangkan 'kawan dan lawan' yang prihatin terhadap isu berkenaan.

Khairul Azhari berkata, beliau menyedari ramai yang bercakap dan membicarakan mengenai isu pendidikan dan pembelajaran dilaluinya di UMPSA.

"Saya mengerti serangan saraf ditujukan kepada peribadi saya adalah satu jangkaan yang perlu saya bersedia dan saya bertekad untuk melaluinya dengan membawa kredibiliti dan keupayaan pasukan PN yang lebih besar agendanya.

"Namun, lanjutan 'perbincangan' mengenai latar belakang peribadi saya, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas penjelasan Dr Ahmad Johari Mohamad (Pegawai Eksekutif UMPSA Advance) mengesahkan lanjutan pengajian saya sah, yang sepatutnya tak perlu ianya diperjelaskan.

"Namun, sekali lagi, saya mengucapkan terima kasih atas kenyataan tersiar di media yang saya sisipkan sekali dalam 'posting' ini," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam, Khairul Azhari enggan mengulas dakwaan atau tanda tanya berkait latar pendidikannya susulan poster yang tular mengatakan beliau mempunyai Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya (UM) pada 2019, kemudian 'melangkau' dengan memperoleh Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan, Universiti Malaysia Pahang (UMPSA), dua tahun kemudiannya.

Bagaimanapun, Ahmad Johari mengesahkan Khairul Azhari memiliki Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari UMPSA.

Ahmad Johari berkata, Khairul Azhari melanjutkan pengajian melalui program profesional di bawah UMPSA Advanced dan menerima sarjananya pada majlis konvokesyen pada tahun 2021.

Mengulas lanjut, Khairul Azhari turut mengucapkan terima kasih mengenai sokongan dan perhatian 'kawan dan lawan' terhadap latar belakangnya.

"Izinkan saya dan pasukan kami untuk meneruskan perjuangan PN dalam memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu dengan lebih jitu kerana ini yang sangat diperlukan sekarang oleh rakyat.

"Tekad saya, kami akan terus berkempen secara sihat dan tidak akan melayan sebarang serangan yang bersifat peribadi kepada saya kerana kami bergerak atas pasukan PN," katanya.

PRK Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung pada 11 Mei depan bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Khairul Azhari bakal ditentang calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao serta dua lagi calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainudin (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 9:53 AM