Dr Noor Hisham melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) ketika hadir di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Dr Noor Hisham melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) ketika hadir di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menyerahkan draf pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada Pejabat Peguam Negara untuk mengkaji semula kadar kompaun yang dikenakan ke atas individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pindaan Akta 342 sememangnya diperlukan berikutan jumlah kompaun maksimum yang diperuntukan adalah RM1,000.

"Jika kita dilihat untuk kompaun Akta 342, maksimum denda yang dikenakan ialah RM1,000 sahaja dan akta berkenaan sudah draf pada 1988, dan ia perlu dibuat pindaan berdasarkan keperluan.

"Jadi memang ada keperluan untuk kita buat pindaan dan sudah dirangka dan diserahkan kepada AG (peguam negara) dan sekarang ini kita menggunakan Ordinan Darurat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berpendapat sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dinaikkan susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 4:39 PM