Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengesahkan Bendahari Agong Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama Pengerusi Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Hasni Mohammad dan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran dikenakan kompaun ketika majlis pelancaran Briged MIC Johor di EduCity Kota Iskandar, Johor hari ini.

Kompaun itu dikeluarkan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana berkumpul.

"Saya mengarahkan pegawai @KKMPutrajaya (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk keluarkan kompaun kepada DS Hishammuddin, DS Hasni, TS Vigneswaran, pemimpin utama yang hadir dan penganjur di bawah Akta 342. @KKMPutrajaya akan terus pantau SOP sempena PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor," katanya menerusi akaun rasmi Twitternya.

Sebelum ini, Khairy mengesahkan PRN Johor boleh diteruskan walaupun Malaysia kini berada dalam gelombang Omicron, dengan bilangan kes positif menunjukkan lonjakan.

Khairy berkata, ia berikutan pesakit Covid-19 yang dijangkiti varian Omicron tidak menunjukkan kesan teruk berbanding varian Delta.

"Saya dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah muktamadkan syor prosedur operasi standard (SOP) dan syor itu sudah dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), seterusnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Pendirian KKM adalah, memandangkan Omicron setakat ini tidak menunjukkan kesan yang teruk seperti Delta dan semua data menunjukkan kesannya tidak seteruk Delta, maka PRN boleh diteruskan tetapi dengan SOP yang akan diumumkan kelak, yang dimuktamadkan drafnya, pagi tadi," katanya.

Foto hiasan
Foto hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 7:08 PM