Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang pesara guru wanita berusia 60 tahun kerugian RM100,000 selepas menerima panggilan dari seorang individu yang mengaku ejen insuran di Kuala Lumpur yang memaklumkan mangsa ada membuat tuntutan insurans akibat kemalangan sedangkan dia tidak pernah melakukannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa yang berasal dari Changlun itu menerima panggilan pada 3 Januari lalu dari individu terbabit yang mengaku ejen insuran berkenaan.

Beliau berkata, mangsa pada mulanya menafikan berkaitan tuntutan insuran berkenaan namun dia diarahkan membuat laporan secara dalam talian ke Balai Polis Pudu.

"Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku pegawai polis berpangkat Sarjan dari Balai Polis Pudu untuk membuat pengesahan.

"Suspek kemudiannya memaklumkan yang mana hasil semakan nombor kad pengenalan mangsa mendapati, dia terbabit dengan kes penggubahan wang haram.

"Mangsa diminta untuk memberikan 16 digit nombor tertera pada kad mesin juruwang automatik (ATM) akaun Bank Rakyat miliknya serta butiran perbankan atas talian untuk tujuan siasatan malah mangsa perlu menunggu selama tiga minggu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elias berkata, mangsa bagaimanapun berasa curiga dan membuat semakan mendapati wang simpanan di Bank Rakyat miliknya berkurangan yang mana terdapat pindahan wang sebanyak RM100,000 daripada akaun berkenaan ke akaun ketiga secara berperingkat.

Beliau berkata, suspek juga menyatakan waran tangkap sudah dikeluarkan dan untuk mengelakkan mangsa ditahan polis, mangsa perlu melaporkan setiap dua jam kepada suspek melalui WhatsApp.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis pada 13 Januari lalu dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu).

"Sehubungan itu polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan Macau Scam ini," katanya.

Elias berkata, jangan mudah menyerahkan segala maklumat peribadi secara dalam talian selain memastikan sentiasa membuat semakan dengan pihak polis atau pihak berkaitan untuk membuat pengesahan selain berbincang atau bertanya dengan keluarga serta rakan supaya tidak mengambil tindakan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 9:35 PM