GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Penternak ayam berusia 32 tahun kerugian RM202,909 selepas diperdaya individu mengaku pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang kononnya mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa yang juga seorang lelaki itu sudah berkahwin dan berasal dari Sungai Petani, di sini.

Beliau berkata, mangsa menerima panggilan dari seorang wanita menghubunginya pada 21 Disember lalu dan memaklumkan tunggakan cukai dikenakan terhadap mangsa.

"Mangsa bagaimanapun menafikan berhubung perkara itu sebelum panggilannya disambung kepada seorang lelaki mengaku pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk membuat pengesahan.

"Panggilan itu kemudian disambung pula kepada seorang lagi suspek lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat "Datuk" dari IPK Pahang dan kononnya pegawai atasan kepada Inspektor terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elias berkata, suspek meminta mangsa membuka satu aplikasi WhatsApp sebelum mangsa menerima satu mesej dengan notis mendakwa mangsa terbabit dalam kes penggubahan wang haram dan penjualan dadah.

Beliau berkata, mangsa kemudian diarah membuka pautan URL yang diberikan untuk mengisi maklumat peribadi mangsa untuk siasatan lanjut.

"Mangsa tanpa membuat semakan terlebih dulu terus membuka pautan URL berkenaan dan mengisi butiran peribadi serta butiran syarikatnya.

"Namun pada hari sama juga, mangsa mengesyaki sesuatu mencurigakan terus membuat semakan baki akaun syarikatnya dan mendapati terdapat lapan kali pindahan wang secara dalam talian berjumlah RM202,909 kepada enam akaun bank berbeza," katanya.

Menurut Elias, mangsa kemudian membuat laporan polis di Baling semalam dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Polis Kedah mengingatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dengan panggilan diterima terutama yang mengaku dari agensi kerajaan seperti mahkamah, LHDN, PDRM, Kastam, atau dari pihak bank yang meminta maklumat akaun bank bagi tujuan siasatan atau lain-lain.

"Ini kerana sindiket jenayah selalu menggunakan modus operandi itu yang bertujuan untuk penyamaran dan menipu mangsa mereka," katanya.

Elias berkata, pihak polis juga mengingatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima melalui http://ccid.rmpgov.my/semakmule/ dan tidak mempercayai orang yang menyamar sebagai pihak penguatkuasa.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumay dan modus operandi jenayah komersil terkini melalui https://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP/.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 2:46 PM