ROSDIANA dan Amirul di kediaman mereka. FOTO Hassan Omar
ROSDIANA dan Amirul di kediaman mereka. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Keluarga nelayan, Irwan Radjab, 47, yang hilang di laut masih dalam keadaan kabur berhubung penemuan mayat lelaki di Pulau Rupat, Indonesia.

Anak sulungnya, Amirul, 20, berkata dia dan ibu, Rosdiana Mongkin, 41, serta dua adiknya berusia 13 dan 17 tahun setakat ini tidak dihubungi oleh sesiapa pun berhubung penemuan mayat terbabit.

"Tiada sesiapa pun yang menghubungi kami, termasuk polis.... Kami tiada apa yang boleh kami katakan mengenai penemuan mayat lelaki itu," katanya ketika di kediamannya di Kampung Telok Gong, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, dia dan anggota keluarga tetap berdoa agar Irwan ditemukan dalam keadaan selamat dan selagi bapanya belum ditemukan, harapan agar lelaki itu selamat, tetap menebal dalam sanubari mereka, katanya.

Dia berkata, berita mengenai penemuan mayat terbabit hanya diketahui melalui laporan media dan bukannya dimaklumkan oleh pihak berkuasa.

"Kami terus berdoa dan berharap bapa ditemukan dalam keadaan sejahtera dan jika keadaan sebaliknya, kami serahkan kepada Allah," katanya.

Irwan, 47, dan Ahmad Norizan Mohamad, 37, dilaporkan turun ke laut dari Jeti Nelayan Padang Temu, dekat bandaraya Melaka pada 13 Januari lalu tetapi tidak pulang selepas itu.

Semalam, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya yakin mayat itu adalah Ahmad Norizan apabila Polisi Republik Indonesia (POLRI) Daerah Bengkalis memaklumkan ia berpakaian seperti mangsa sebelum dilaporkan hilang selain penemuan lesen memandu tertera nama Ahmad Norizan Mohamad dan beberapa barangan peribadi miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 2:33 PM