ROSDIANA (kanan) menerima sumbangan daripada Norihan sambil di Kampung Telok Gong, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
ROSDIANA (kanan) menerima sumbangan daripada Norihan sambil di Kampung Telok Gong, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Meskipun amat berat menerima hakikat kehilangan suami, Irwan Radjab, 47, di laut sejak Rabu minggu lalu, Rosdiana Mongkin, 41, tetap tidak putus menitipkan doa suaminya selamat.

Ibu kepada tiga anak berusia antara 13 hingga 20 tahun itu tetap mengharapkan suami dan rakannya, Ahmad Norizan Mohamad, 37, kembali ke darat dalam keadaan selamat.

"Hati isteri mana yang tidak bimbang apabila suami hilang di laut tetapi saya tetap tabahkan hati berdoa agar Allah menyelamatkan suami dan rakannya.

"Memang ada bermacam-macam perkara bermain dalam fikiran saya, termasuk yang buruk tetapi saya pujuk juga hati supaya sabar dan tenang menghadapi ujian Allah," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Telok Gong, di sini, hari ini.

Beliau dan anggota keluarganya menerima kunjungan Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, Norihan Bahari yang bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan kepada wanita terbabit.

Turut hadir, Pegawai Kebajikan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Kuala Linggi Mohd Azhar Jasin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Telok Gong Azman Abu Kassim.

Rosdiana yang berasal dari Apas, Tawau, Sabah berkata, dia dan suami yang berasal dari Sabah berhijrah ke Semenanjung pada tahun 2000 dan bekerja di pelbagai sektor.

Katanya, setiap kali turun ke laut bersama-sama Ahmad Norizan di Jeti Nelayan Padang Temu dekat bandar raya Melaka, suaminya jarang pulang ke rumah kerana menumpang tinggal di bengkel Ahmad Norizan di Kandang, dekat Padang Temu.

"Suami saya sering menyirat (menjahit) jaring di bengkel itu dan kadang kala sampai empat atau lima hari tidak pulang.

"Dia keluar rumah pada jam 1.30 petang, 6 Januari lalu untuk turun ke laut dan kali terakhir menghubungi saya pada jam 11 malam, 12 Januari lalu sebelum hilang di laut pada keesokannya," katanya.

Menurutnya, dalam perbualan sebelum hilang, Irwan menyatakan dia akan pulang satu atau dua hari lagi selepas selesai menarik jaring pari.

Bagaimanapun Nordiana berkata, dirinya tidak menyangka ia perbualan terakhir sebelum menerima berita suami dan rakannya hilang di laut, dipercayai di perairan sekitar Pulau Undan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad dilaporkan berkata, kedua-dua nelayan terbabit dibimbangi hilang ketika menangkap ikan di perairan pulau berkenaan.

Radius pencarian mereka membabitkan kawasan 36 batu nautika dari Jeti Nelayan Padang Temu dan ada saksi terlihat perahu mereka menuju ke arah pulau itu Rabu minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 3:01 PM