FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Layanan terhadap pembayar cukai yang menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) adalah berdasarkan fakta dan merit kes.

Setiap tindakan audit atau siasatan bagi setiap kes yang diterima dan disemak oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) terhadap pengakuan sukarela hanya dilakukan sekiranya pembayar cukai gagal memenuhi ketetapan ditetapkan dalam Garis Panduan Operasi Bilangan 1 Tahun 2019 (GPO 2019)

LDHNM dalam kenyataan berkata, ketetapan GPO 2019 jelas memberi peringatan kepada pembayar cukai supaya melaporkan pendapatan penuh.

"Ia perlu mengambil kira kesemua pendapatan yang boleh dikenakan cukai. Tujuannya adalah mengelakkan berlakunya penipuan (fraud) pelaporan pendapatan oleh mana-mana pembayar cukai yang menyalahgunakan program ini.

"Dalam erti kata lain, PKPS yang dilaksanakan turut menuntut kejujuran pembayar cukai dalam membuat pengakuan dan pelaporan cukai," katanya bagi menjelaskan salah faham berhubung satu laporan yang mendakwa LHDNM membuat pusingan 'U' dalam melayani pembayar cukai yang menyertai PKPS.

Katanya, berdasarkan GPO 2019 ini, jaminan tiada tindakan audit atau siasatan akan dilakukan pada masa akan datang bagi tahun-tahun taksiran yang terbabit dengan PKPS adalah tertakluk kepada penemuan (audit dan siasatan).

"Pengakuan sukarela bukan terpakai bagi kes yang tidak kena cukai, taksiran kurangan atau cukai kena dibayar balik.

"Program ini turut tidak terpakai bagi pengakuan yang membabitkan siasatan jenayah atau prosiding pendakwaan susulan daripada siasatan jenayah sudah difailkan di mahkamah berdasarkan peruntukan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (ACKHT) 1976, Akta Setem (AS) 1949 atau

Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

"Pembayar cukai dikehendaki memastikan pengakuan sukarela yang dibuat mengambil kira semua pendapatan yang boleh dikenakan cukai dan LHDNM menerima maklumat pengakuan sukarela yang dibuat secara suci hati namun masih tertakluk kepada semakan pengiraan cukai dalam memastikan ketepatan pengakuan sukarela yang dikemukakan,"katanya.

Menurutnya, pembayar cukai yang ingin mendapatkan maklum balas atau penjelasan selanjutnya atas tindakan audit atau siasatan cukai yang dilakukan terhadap mereka boleh hadir ke pejabat LHDNM yang mengendalikan fail percukaian mereka.

"Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan perkara ini boleh dimajukan kepada LHDNM melalui Hasil Care Line di talian 038911 1000 atau 6038911 1100 (Luar Negara).

"Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat di HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/," katanya.

PKPS dilaksanakan mulai 3 November 2018 dan berakhir pada 30 September 2019.

PKPS ditawarkan oleh kerajaan sebagai penyelesaian kepada pembayar cukai yang mempunyai isu pematuhan cukai dengan tampil secara sukarela melaporkan pendapatan penuh dan membuat bayaran cukai mereka dalam tempoh yang sepatutnya.

Seramai 286,428 pembayar cukai mengambil peluang itu yang membabitkan jumlah cukai, cukai tambahan dan penalti sebanyak RM7.877 bilion.

PKPS juga berjaya menarik seramai 11,176 pembayar cukai baharu ke dalam jaringan cukai LHDNM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 12:48 PM