Peniaga pelbagai jenama hasil ubi di Pasar Awam bandar Segamat, Rom Taib (kanan) bersama rakan peniaga ubi yang turut menjual hasil produk makanan tradisi, itu. FOTO AHMAD ISMAIL
Peniaga pelbagai jenama hasil ubi di Pasar Awam bandar Segamat, Rom Taib (kanan) bersama rakan peniaga ubi yang turut menjual hasil produk makanan tradisi, itu. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail


Segamat: Pelbagai jenis ubi menjadi pilihan orang ramai setiap kali tiba musim tengkujuh sekali gus menjadikan permintaan ke atas makanan itu meningkat.

Tinjauan di Pasar Awam Segamat, mendapati lebih 10 peniaga menjual ubi yang rata-rata mendakwa mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Seorang peniaga, Rom Taib, 58, dari Kampung Gudang Garam di sini, berkata keluarganya menjual pelbagai jenis ubi di pasar itu sejak 20 tahun lalu.

"Biasanya saya dan keluarga menjual ubi di pasar malam, pasar tani dan dari rumah ke rumah, tetapi bermula awal Mac lalu disebabkan Covid-19, kami tumpukan berniaga di Pasar Awam Segamat kerana ia sudah terkenal sebagai lokasi menjual ubi pada musim tengkujuh.

"Kebanyakan penggemar ubi akan mengunjungi pasar ini yang terkenal sebagai lokasi bagi mendapatkan pelbagai jenis ubi," katanya.

Rom berkata, setiap hari beliau menjual 10 jenis ubi termasuk ubi badak, ubi lobak, ubi kayu dan ubi pulut.

"Sepanjang musim hujan ini kami mampu menjual antara 80 hingga 150 kilogram ubi sehari peningkatan 60 peratus berbanding hari biasa.

"Paling mendapat sambutan ubi kayu kerana ia sinonim dengan musim tengkujuh dan biasa direbus serta dimakan dengan kelapa parut, sambal tumis ikan bilis, dibuat 'getuk', tapai ubi dan ubi goreng," katanya.

Katanya, harga ubi bergantung kepada jenis dan paling mahal adalah ubi pulut, iaitu RM8 sekilogram.

"Harga ubi lain bermula RM4 hingga RM8 dan biasanya pelanggan membeli dua hingga lima kilogram seorang.

"Saya peroleh bekalan ubi daripada petani di Jementah, Labis, Batu Anam, Chaah dan Buloh Kasap. Namun, kita bekalan berkurangan disebabkan kebun digenangi air bah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 2:54 PM