UBI getuk merupakan antara makanan tradisi di Kelantan yang sentiasa menjadi buruan oleh penggemarnya terutama pada musim tengkujuh. FOTO BERNAMA
UBI getuk merupakan antara makanan tradisi di Kelantan yang sentiasa menjadi buruan oleh penggemarnya terutama pada musim tengkujuh. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kota Bharu: Setiap kali tiba musim tengkujuh, kuih ubi 'getuk' antara makanan tradisi masyarakat Melayu di Kelantan dan sentiasa menjadi buruan penggemarnya untuk dijadikan sajian ketika sarapan atau minum petang.

Kuih ubi getuk diperbuat daripada bahan utama ubi kayu yang direbus dan tumbuk, kemudian digaul dengan kelapa parut, gula dan sedikit garam serta dibentuk menjadi bulat dan dicelup ke dalam adunan tepung beras serta digoreng rangup.

Peniaga ubi kayu getuk, Rakiah Mamat, 50, atau mesra disapa 'Kak Yah' berkata, dia mula menjual kuih ubi getuk itu dua tahun lalu setelah terlihat lebihan ubi kayu mentah yang belum diproses ketika berada di rumah kakaknya.

"Saya terfikir daripada membazir, lebih baik buat 'sesuatu' dengan ubi kayu ini dan merebusnya sambil mencari idea baharu kerana pada ketika itu saya ada bahan lain seperti kelapa muda yang telah siap diparut dan tepung beras.

"Perkataan 'getuk' pada kuih itu adalah kerana selepas ubi kayu ini direbus, saya akan mengetuk ubi kayu menggunakan lesung batu sebelum digaul dengan bahan lain," katanya.

Rakiah berkata, untuk menghasilkan ubi getuk yang cantik, seelok-eloknya gunakanlah ubi kayu berisi kuning, namun jika tiada ubi jenis itu, ubi kayu isi putih boleh digunakan untuk membuat kuih itu.

RAKIAH (kiri) melayan pelanggannya yang membeli ubi getuk di gerainya di Kampung Jambu Merah Melor. FOTO BERNAMA
RAKIAH (kiri) melayan pelanggannya yang membeli ubi getuk di gerainya di Kampung Jambu Merah Melor. FOTO BERNAMA

Katanya, proses merebus ubi kayu ada kaedahnya dan tidak boleh angkat terlalu awal dan tidak boleh terlebih masak kerana ia akan menjadi terlalu lembik dan sebaik sahaja siap direbus, ubi kayu itu hendaklah diketuk dan proses itu agak rumit.

"Saya pernah membeli mesin pengisar dan mencuba kaedah moden, namun pelanggan tidak menggemarinya kerana hasilnya terlalu halus, jadi sehingga kini saya masih kekal gunakan kaedah ketuk ubi kayu ini untuk mendapatkan rasa lebih sedap.

"Rutin harian bermula seawal 8 pagi untuk berniaga ubi getuk di gerai di Kampung Jambu Merah, Melor dengan menyiapkan bahan kuih ubi getuk sebelum mula mengoreng bermula 11 pagi hingga 6 petang.

"Kini saya hadkan menjual sekitar 100 biji sehari kerana bekalan ubi kayu tidak mencukupi, walaupun kuih ini mempunyai penggemarnya tersendiri kerana ada yang sanggup datang dari jauh seperti di Tanah Merah, Pasir Mas dan Kota Bharu," katanya yang menjual kuih ubi getuk pada harga RM1 untuk empat biji.

Menurutnya, ada pelanggan membeli sedulang kuih dalam anggaran harga RM8 hingga RM10, selain ada yang membeli setiap hari kerana ia enak dimakan 'panas-panas' dalam suasana cuaca mendung, hujan dan sejuk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 2:53 PM