Ubi kayu parut atau dikenali sebagai ubi tonyoh. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Ubi kayu parut atau dikenali sebagai ubi tonyoh. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris


Tumpat: Selain putu halba, satu lagi makanan tradisional laris di negeri ini pada musim tengkujuh adalah ubi kayu parut atau lebih dikenali sebagai ubi tonyoh.

Ubi kayu jenis isi kuning yang diparut sebelum dikukus hampir satu jam dan dinikmati bersama taburan gula pasir serta kelapa muda parut sangat enak dimakan terutama ketika masih panas.

Pembuatnya, Nor Harlizam Mamat, 37, berkata, menjelang musim tengkujuh, ubi tonyoh (parut) adalah menu wajib dijualnya kerana mendapat permintaan sangat menggalakkan.

"Setiap hari, saya akan memarut antara 20 hingga 50 kilogram (kg) ubi kayu untuk dijadikan ubi tonyoh.

"Sudah empat tahun saya menjual menu ini dan sambutannya sangat baik kerana ia hanya wujud pada musim tengkujuh sahaja sama seperti putu halba," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bunut Sarang Burung, di sini, semalam.

Tidak menafikan menu musim tengkujuh itu turut dihasilkan ramai penjual lain, Nor Harlizam berkata, dia memiliki pelanggan tetap dan menghasilkan pembuatannya mengikut cara betul.

Katanya, ubi kayu sudah diparut perlu dikukus tidak kurang dari satu jam bagi menjadikannya betul-betul empuk selain diletakkan daun pandan untuk mengeluarkan bau wangi.

"Ubi tonyoh ini perlu betul-betul masak dan jangan 'kedekut gas' kerana ia akan keras disebabkan belum empuk dengan betul.

"Pada musim tengkujuh kali ini, saya mula menjual ubi kayu parut itu sejak awal November lalu dengan dibantu suami, Wan Zahari Wan Othman, 53, adik dan anak," katanya.

Menurutnya, ketika ini dia terpaksa beroperasi dari rumah sama ada pelanggan datang mengambil atau dibuat penghantaran berikutan kedai miliknya tidak beroperasi sejak penularan Covid-19.

Katanya, harga tetap sama seperti empat tahun lalu iaitu RM3 sebekas dan dia turut menerima tempahan untuk apa sahaja majlis atau kenduri.

Nor Harlizam Mamat mengusahakan ubi tonyoh. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Nor Harlizam Mamat mengusahakan ubi tonyoh. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 2:05 PM