Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Polis menahan tiga lelaki susulan kejadian pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Taman Ungku Tun Aminah, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua yang ditahan itu berusia 21 hingga 28 tahun selain usaha diteruskan bagi menahan saki-baki suspek.

Katanya, pada 5 Januari, kira-kira jam 6.30 petang, pihaknya mengesan satu video tular membabitkan pergaduhan sekumpulan lelaki di sebuah pusat hiburan dan di kaki lima premis berkenaan.

"Siasatan mendapati pergaduhan berlaku apabila teman wanita seorang pengunjung diganggu, ini menyebabkan berlaku kekecohan dan pengunjung yang lain mengambil kesempatan sehingga terjadinya pergaduhan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan, selain polis menjalankan siasatan sama ada terdapat sebarang elemen kongsi gelap terbabit dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan di sini.

Terdahulu, tular video berdurasi 15 saat yang menunjukkan berlaku perselisihan faham antara sekumpulan lelaki di sebuah premis hiburan di bandar raya ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, pihaknya turut menjalankan serbuan di premis hiburan berkenaan kerana beroperasi tanpa lesen serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Premis terbabit sebelum ini sudah diambil tindakan sebanyak empat kali di bawah Enakmen Hiburan, manakala serbuan kali ini dibuat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor 4/98.

"Untuk makluman, di Johor Bahru, masih lagi tertakluk di bawah PKPB yang mana tiada sebarang aktiviti pusat hiburan dibenarkan beroperasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 10:53 AM
PERGADUHAN yang berlaku di sebuah pusat hiburan di Taman Ungku Tun Aminah, Isnin lalu. FOTO tular
PERGADUHAN yang berlaku di sebuah pusat hiburan di Taman Ungku Tun Aminah, Isnin lalu. FOTO tular