Omar Ahmad

Johor Bahru: Pengecat kereta sambilan ditahan kelmarin, selepas memuat naik komen berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan institusi Diraja Johor di media sosial.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di kediamannya di Ulu Tiram, di sini pada 9.25 malam.

Katanya, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada Pejabat Komunikasi dan Keluarga Diraja Johor berhubung komen di Twitter atas nama 'Zion74Rey @ Reymizion74' pada 2.30 petang, hari sama.

"Dalam serbuan itu polis merampas peranti yang dipercayai digunakan untuk membuat komen jelik terbabit, antaranya satu unit telefon, satu komputer dan USB.

"Siasatan mendapati, suspek pernah terlibat dengan dua kes jenayah, tahun lalu yang disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial dan kebebasan bersuara dengan memuat naik komen dan hantaran yang jelik.

Ayob Khan menunjukkan gambar serbuan di dua premis pusat hiburan yang melanggar SOP PPN fasa tiga. FOTO OMAR AHMAD
Ayob Khan menunjukkan gambar serbuan di dua premis pusat hiburan yang melanggar SOP PPN fasa tiga. FOTO OMAR AHMAD

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 2:57 PM