DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay menyertai operasi pusat hiburan haram dengan seramai 121 pengunjung sebuah pusat hiburan yang sedang berhibur, dalam serbuan malam tadi. FOTO ihsan Polis Johor
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay menyertai operasi pusat hiburan haram dengan seramai 121 pengunjung sebuah pusat hiburan yang sedang berhibur, dalam serbuan malam tadi. FOTO ihsan Polis Johor
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seramai 121 pengunjung sebuah pusat hiburan yang baharu tiga hari beroperasi dikompaun RM1,000, dalam serbuan malam tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan jam 10 malam itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Katanya, dalam serbuan itu, kesemua 121 individu yang dikompaun berumur antara 20 hingga 40 tahun kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Premis pusat hiburan ini tidak mempunyai lesen serta kebenaran untuk beroperasi malah permohonan mendapatkan lesen baharu dikemukakan pada 1 September lalu.

"Risikan mendapati pusat hiburan yang beroperasi tiga hari lalu dan ketika serbuan mendapati pengunjung tidak langsung mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Dalam operasi ini polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun yang mengaku sebagai pengurus premis, selain seorang lelaki Myanmar, 32 tahun dan seorang wanita Vietnam, 31 tahun atas kesalahan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan, berkata kesemua pengunjung turut dibawa ke IPD Daerah JBS untuk dokumentasi

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor (ENJ) dan Perkara 11, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 2020.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 1:15 PM