AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) menyoal siasat pemilik hiburan. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) menyoal siasat pemilik hiburan. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Mohamed Farid Noh


SERAMAI 194 pengunjung pusat hiburan, termasuk seorang remaja berusia 17 tahun yang positif dadah, ditahan menerusi Ops Club Rats 3.0 dijalankan di tujuh daerah, awal pagi tadi.

Tiga belas serbuan dijalankan di semua lokasi berkenaan bermula tengah malam hingga 4.30 pagi tadi.

Operasi digerakkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dibantu Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Unit Anjing Pengesan (K9).

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan membabitkan 165 anggota dan pegawai.

Pusat hiburan diserbu pula membabitkan kawasan Johor Bahru Selatan (JBS), Johor Bahru Utara (JBU), Seri Alam, Iskandar Puteri, Mersing, Muar dan Batu Pahat.

“Pemeriksaan dilakukan ke atas 572 pengunjung dan hasil pemeriksaan air kencing, 124 pengunjung pusat hiburan, termasuk seorang remaja berusia 17 tahun, serta 18 warga asing didapati positif dadah.

“Pecahan itu membabitkan 124 positif dadah, enam memiliki dadah, 45 kesalahan Imigresen, 14 kesalahan Enakmen Hiburan dan lima lagi suspek dikehendaki berkaitan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurut beliau, semua yang ditahan berusia 17 hingga 48 tahun.

“Lapan belas warga asing yang positif dadah membabitkan dua lelaki warga Singapura, lapan lelaki warga Indonesia dan empat wanita warga Vietnam.

“Tiga wanita warga China dan seorang wanita warga Vietnam pula bukan sahaja positif dadah malah memiliki bahan terlarang itu,” katanya.

Pada masa sama, Ayob berkata, pihaknya turut mengeluarkan saman ke atas pusat hiburan yang diperiksa kerana kesalahan beroperasi lebih masa dan tiada lesen perniagaan hiburan.

“Semakan rekod mendapati, kesemua premis ini sudah beberapa kali diserbu dan diambil tindakan oleh JSJN Johor sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk ekstasi daripada pengunjung pusat hiburan diserbu.

Katanya, tujuan operasi bersepadu adalah bagi menahan suspek yang dikenal pasti sebagai pembekal dadah di pusat hiburan yang kebiasaannya digelar dengan panggilan ‘doktor’ oleh pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 8:30 PM