BARANGAN yang dirampas di dua pusat hiburan. FOTO OMAR AHMAD
BARANGAN yang dirampas di dua pusat hiburan. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Johor Bahru: Sejumlah 119 kompaun dikeluarkan terhadap 119 individu dalam dua serbuan di pusat hiburan berasingan di Taman Mount Austin dan Taman Cahaya Kota Puteri, Masai, malam tadi dan kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kompaun keseluruhan bernilai RM620,000 dikeluarkan kerana dua premis itu beroperasi dalam tempoh Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, serbuan pertama pada 11.05 malam kelmarin, menyebabkan 23 individu dikompaun keseluruhan RM135,000 termasuk penjaga premis.

"Penjaga premis dikompaun sebanyak RM25,000, manakala 22 individu yang juga pelanggan masing-masing dikenakan RM5,000 setiap seorang.

"Pada serbuan kedua pada 12.10 tengah malam, 96 individu termasuk seorang wanita penjaga premis dikompaun dengan nilai keseluruhan RM485,000.

"Dalam serbuan ini, lima individu ditahan termasuk wanita penjaga premis dan tiga wanita warga asing kerana tiada dokumen perjalanan sah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, seorang lelaki warga tempatan turut ditahan dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkait dadah.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor 4/98; Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 4:31 PM