ANTARA yang ditahan kerana leka berhibur menerusi serbuan di sebuah premis, di Jalan Sagu 18, Taman Daya, Johor Bahru. FOTO Ihsan Polis Johor.
ANTARA yang ditahan kerana leka berhibur menerusi serbuan di sebuah premis, di Jalan Sagu 18, Taman Daya, Johor Bahru. FOTO Ihsan Polis Johor.
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Polis menahan 29 individu termasuk 15 warga Vietnam ketika leka berhibur menerusi serbuan di sebuah premis, di Jalan Sagu 18, Taman Daya, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kesemua mereka berusia 20 hingga 52 tahun itu ditahan menerusi operasi yang dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada 7.45 malam.

Katanya, seorang lelaki warga Vietnam berusia 24 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis ditahan, manakala 14 individu tempatan dikenakan kompaun RM10,000 setiap seorang kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada dalam premis.

"Hasil pemeriksaan mendapati, premis itu sedang beroperasi dan muzik dimainkan dengan kuat, selain terdapat sekumpulan individu sedang leka berhibur sambil minum minuman beralkohol.

"Turut dirampas lapan paket berwarna ungu tertulis Goddess Secret disyaki dadah jenis ekstasi, 87 biji pil berwarna merah jambu disyaki pil ekstasi serta tujuh paket lutsinar disyaki dadah jenis ketamin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua warga asing akan dibuat semakan rekod pergerakan keluar masuk negara menerusi Jabatan Imigresen Malaysia.

"Semakan status lesen perniagaan dan status lesen hiburan premis akan dibuat menerusi pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

"Kes disiasat mengikut Peraturan 16(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar syarat PKPB dan Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor 4/98.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 11:34 AM