KONSTABEL Taxlamsyah Nurul Hayat Piee, 24, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Singkir-Ruat. FOTO ihsan PDRM
KONSTABEL Taxlamsyah Nurul Hayat Piee, 24, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Singkir-Ruat. FOTO ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Anggota polis maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah hadapan di Jalan Singkir-Ruat (Tanjung Jaga), di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, dalam kejadian 10 pagi, Konstabel Taxlamsyah Nurul Hayat Piee, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Tanjung Jaga menuju ke Pekan Yan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba kereta mangsa hilang kawalan dan terbabas ke laluan sebelah kanan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah hadapan.

"Akibat itu, mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa didapati tersepit di dalam kereta lalu dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas.

Katanya, pemandu kereta itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum mayatnya diserahkan kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 5:53 PM