MANGSA banjir membawa barangan mereka meredah banjir di Perkampungan Bukit Rangin, Kuantan berikutan limpahan air Sungai Kuantan. FOTO Farizul Hafiz Awang
MANGSA banjir membawa barangan mereka meredah banjir di Perkampungan Bukit Rangin, Kuantan berikutan limpahan air Sungai Kuantan. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


Kuantan: Seramai 18,300 mangsa banjir daripada 4,750 keluarga kini ditempatkan di 253 pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah di negeri ini setakat 11.53 pagi, hari ini.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 17,129 penduduk daripada 4,398 keluarga di 243 PPS di 10 daerah, 8.28 pagi tadi.

Berdasarkan rekod, 42 PPS dibuka di Raub, diikuti Lipis (42), Jerantut (39), Maran (38), Kuantan (34), Temerloh (30), Rompin (10), Pekan (sembilan), Bera (enam) dan Bentong (tiga).

Kuantan merekodkan 4,042 mangsa daripada 1,678 keluarga, diikuti Temerloh 1,678 mangsa daripada 443 keluarga, Bentong 132 mangsa daripada 32 keluarga, Maran 4,812 mangsa daripada 1,228 keluarga.

Di Rompin pula membabitkan 961 mangsa daripada 256 keluarga, Bera 144 mangsa daripada enam keluarga, Raub 1,840 mangsa daripada 501 keluarga, Jerantut 1,992 mangsa daripada 459 keluarga, Lipis 2,389 mangsa daripada 626 keluarga dan Pekan 310 mangsa daripada 81 keluarga.

Sementara itu, laporan infobanjir.water.gov.my memaklumkan sembilan kawasan sungai masih melepasi paras berbahaya setakat 12 tengah hari ini.

Sungai terbabit ialah di Sungai Jelai di Bukit Betong dan Jeram Bungor, Lipis; Sungai Tembeling di Kuala Tahan; Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut dan Lubuk Paku, Maran; Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini dan Serambi (Paloh Inai), Pekan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 12:48 PM