GURU Sekolah Menengah Kebangsaan Setia Wangsa, Kuala Lipis membersihkan bilik guru yang yang rosak akibat banjir. FOTO Effendy Rashid.
GURU Sekolah Menengah Kebangsaan Setia Wangsa, Kuala Lipis membersihkan bilik guru yang yang rosak akibat banjir. FOTO Effendy Rashid.
Asrol Awang


Kuantan: Pahang menunjukkan pertambahan jumlah mangsa banjir yang kini mencecah 26,760 orang, setakat 8.50 pagi berbanding, 22,897 orang semalam.

Jumlah itu membabitkan 7,222 keluarga yang ditempatkan di 276 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sembilan daerah iaitu Temerloh (67), Lipis (39), Maran (35), Raub (33), Jerantut (31), Pekan (26), Kuantan (25), Bera (12) dan Rompin (8).

Mangsa paling ramai di Temerloh dengan 10,189 orang (2,744 keluarga) diikuti Kuantan 2,339 orang (647 keluarga); Maran 3,678 orang (1,005 keluarga); dan Raub 2,014 orang (533 keluarga).

Seramai 2,528 mangsa daripada 664 keluarga di Lipis; 2,066 orang (538 keluarga) di Jerantut; 1,689 orang (495 keluarga) di Pekan; 1,255 orang (333 keluarga) di Bera dan Rompin 1,002 orang (263 keluarga).

Laporan infobanjir.water.gov.my turut memaklumkan enam sungai di negeri itu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai, Jeram Bungor, Lipis; Sungai Pahang (Lubuk Pasu), Temerloh; dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran.

Turut berkeadaan sama, Sungai Kuantan di Jalan Kuantan Pintasan, Kuantan serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Hinai), Pekan.

Manakala, Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan; dan Sungai Triang, Bera pula melepasi paras amaran selain Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan paras berjaga-jaga.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula mengeluarkan notis cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berterusan di Pahang sehingga 12 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 9:27 AM