LALUAN utama Jalan Skudai ditenggelami air berikutan Sungai Skudai melimpah. FOTO ihsan JKR
LALUAN utama Jalan Skudai ditenggelami air berikutan Sungai Skudai melimpah. FOTO ihsan JKR
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Laluan utama Jalan Skudai menghala ke bandar raya ini ditenggelami air berikutan limpahan Sungai Skudai, hari ini.

JKR Johor dalam kenyataannya berkata, laluan Jalan Skudai yang terjejas itu berhampiran jejambat Taman Ungku Tun Aminah, di sini.

Ia berikutan hujan lebat yang tidak berhenti sejak 24 jam lalu menyebabkan kenderaan ringan tidak boleh melaluinya.

Sementara itu, pengguna jalan berkenaan, Irwan Jumain, 39, berkata, kesesakan berlaku di situ apabila paras air Sungai Skudai yang melimpah ke laluan berkenaan semakin tinggi kira-kira 11 pagi tadi.

"Ada pemandu yang sempat membelok ke Taman Ungku Tun Aminah bagi mengelakkan kesesakan namun bagi kenderaan yang sudah berada atas jejambat,mereka terperangkap di laluan ini termasuk saya," katanya ketika dihubungi.

Hujan lebat turut menyebabkan banyak kawasan rendah di negeri ini mula dinaiki air.

Ia berikutan sungai utama mula melimpah dengan keadaan air pasang tengah hari ini dijangka memburukkan keadaan.

Setakat 11 pagi tadi, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini membabitkan jumlah mangsa banjir terjejas iaitu 275 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 12:10 PM