Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Hampir semua harta benda milik penduduk Kampung Laut Batu 10, Skudai, yang terbabit banjir kilat semalam, musnah sepenuhnya.

Tinjauan dilakukan di kawasan rumah penduduk yang terletak bersebelahan Sungai Skudai, mendapati laluan masuk ke situ, dipenuhi lumpur tebal.

Lebih menyedihkan, lumpur serta selut tebal turut memenuhi rumah penduduk yang ditenggelami banjir kilat sedalam lebih tiga meter itu.

Mangsa paling teruk terjejas, Mohamad Ibrahim Sujimun, 27, berkata dua kereta dan dua motosikal milik keluarga rosak serta dipenuhi lumpur tebal, selepas ia tidak sempat dipindahkan.

Katanya, air banjir naik sekelip mata berikutan hujan lebat dan pelepasan air dari Empangan Kampung Jaya Sepakat, Senai berikutan paras air di empangan berkenaan di paras bahaya.

"Hampir semua harta benda milik keluarga saya tidak sempat diselamatkan berikutan air banjir naik mendadak.

"Dua kereta dan dua motosikal rosak sepenuhnya. Harta benda terutama barangan elektrik yang sudah dinaikkan di bahagian loteng turut rosak apabila loteng itu runtuh ketika air banjir semakin tinggi.

"Saya dan penduduk yang terjejas teruk merayu kerajaan negeri bantulah kami, kerana kami kehilangan hampir semua harta benda yang ada," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Ibrahim berkata, banjir kali ini paling teruk berikutan air banjir lebih tiga meter dan hampir mencecah bumbung.

Katanya, walaupun kawasan itu akan banjir setiap kali hujan lebat lebih dua jam, namun air banjir tidak akan lebih 0.5 meter atau lebih daripada paras peha.

"Banjir kilat semalam membuatkan penduduk yang tinggal bersebelahan Sungai Skudai tergamam kerana ia naik sekelip mata.

"Kerajaan negeri ada menawarkan sebuah unit rumah rakyat, namun oleh kerana bilangan ahli keluarga yang ramai menyebabkan kami tidak dapat berpindah ke situ dan terus menetap di sini," katanya.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Zamri, 26, berkata beliau mengambil cuti dari bekerja sebagai penghantar makanan hari ini bagi membantu neneknya mengemas rumah berikutan ditenggelami air banjir kilat semalam.

"Semalam hanya tinggal nenek dan datuk di rumah dan mereka hanya sempat menyelamatkan televisyen, peti sejuk dan mesin basuh.

"Perabot lain termasuk kerusi, meja dan tilam tidak sempat diselamatkan kerana air naik terlalu laju," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 2:43 PM
 Mangsa banjir, Mohamad Ibrahim Sujimun, 27, menunjukkan bilik menempatkan barangan yang runtuh akibat banjir di Kampung Laut Batu 10, Skudai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mangsa banjir, Mohamad Ibrahim Sujimun, 27, menunjukkan bilik menempatkan barangan yang runtuh akibat banjir di Kampung Laut Batu 10, Skudai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN