MOHAMAD Dinie mendukung anaknya Aisy Dhiaurrahman, 3 bulan serta dibantu isterinya, Aminah Barthot meredah air selepas rumahnya dinaiki air banjir kilat selepas hujan lebat sejak pagi tadi. FOTO Zain Ahmed
MOHAMAD Dinie mendukung anaknya Aisy Dhiaurrahman, 3 bulan serta dibantu isterinya, Aminah Barthot meredah air selepas rumahnya dinaiki air banjir kilat selepas hujan lebat sejak pagi tadi. FOTO Zain Ahmed
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini susulan banjir akibat hujan lebat hampir 12 jam hari ini.

PPS pertama dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10 kira-kira jam 3.30 petang tadi selepas Kampung Laut, Skudai dilanda banjir setinggi 0.60 meter akibat limpahan Sungai Skudai.

Seramai 26 penduduk termasuk seorang bayi dipindahkan ke PPS berkenaan berikutan paras air yang semakin tinggi berikutan hujan lebat masih belum reda.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PKO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPN) Johor, sebuah lagi PPS dibuka kira-kira 6.20 petang tadi di Kampung Pasir.

Ia berikutan air Sungai Perling melimpah sehingga air naik mencecah satu meter.

Seramai lapan penduduk dari Jalan Sukun, Kampung Pasir dipindahkan dengan tujuh orang berpindah ke PPS Bukit Pasir manakala seorang lagi mangsa terjejas berpindah sementara ke rumah warisnya yang terdekat.

Sementara itu, Angkatan Pertahan Awam (APM)Johor dalam kenyataan hari ini berkata, sebanyak empat laluan di Kluang dinaiki air berikutan hujan lebat.

Ia membabitkan Jalan Kluang-Mersing, berhadapan sebuah pasar raya besar Jalan Mengkibol-Rengam, Jalan Batu- Mersing serta Jalan Kluang -Mersing berhampiran Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) Kahang.

Buat masa ini, semua kenderaan ringan masih tidak dibenarkan melalui laluan berkenaan yang hanya dibuka untuk kenderaan berat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 7:39 PM